KPR3012

KPR3012
cikgu ros

Friday, May 22, 2015

KONSEP PENGINTEGRASIAN TEKNOLOGI DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

    Bidang pendidikan mengalami perubahan yang pesat dari segi sistem mahupun pengurusannya seiring dengan perkembangan dunia semasa dan era globalisasi. Perubahan daripada pendekatan pendidikan bersifat tradisional atau berasaskan kertas dan pen perlu diubah kepada pendidikan yang berteknologi adalah satu perkara yang perlu diberi sokongan. Mempelajari cara menggunakan komputer belum mencukupi untuk membolehkan guru menggabungkan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran (pdp). Elemen yang penting dalam mengintegrasi teknologi adalah pemahaman guru terhadap isi pengajaran dan implikasi berhubung dengan teknologi.


        Menurut Halimah (2005) konsep integrasi teknologi dalam pendidikan boleh didefinisikan sebagai pengintegrasian tanpa kelim antara pelbagai media dalam satu persekitaran digital bagi memenuhi tujuan persekitaran pembelajaran, pedagogi, reka bentuk kurikulum dan stail pembelajaran pelajar.

           Holmes (1999), memberikan pandangan bahawa integrasi teknologi dalam pdp memerlukan guru yang bersedia dan fleksibel dalam menggunakan teknologi dalam kaedah pengajaran harian dengan mata pelajaran yang diajar. Perkara yang penting dalam integrasi teknologi pendidikan dalam pengajaran dan pembelajaran ialah setiap strategi itu harus menjurus kepada keperluan P&P dan sebagai satu cara untuk guru dan pelajar menyelesaikan masalah semasa proses pembelajaran serta memperolehi hasil yang bertepatan dengan isi kandungan.

           Terdapat beberapa strategi pembelajaran yang boleh digunakan oleh guru untuk mengaplikasikan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antaranya menggunakan paparan multimedia, internet dan perisian interaktif yang kaya dengan teknologi terkini. Untuk memastikan teknologi digunakan di dalam kelas, maka guru perlu mempunyai persepsi dan kesediaan terhadap teknologi yang digunakan. 

No comments:

Post a Comment